Kuala Lumpur: Selepas 42 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Ismail Omar semalam tidak mampu menahan air matanya ketika diraikan pada hari terakhir bertugas sebagai Ketua Polis Negara.

Beliau kelihatan menitiskan air mata ketika perarakan paluan berundur sambil melambaikan tangan kepada kira-kira 5,000 pegawai dan anggota PDRM yang menghadiri majlis terbabit di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini.
Majlis perpisahan dimulakan dengan perbarisan kehormat, disusuli nyanyian lagu Negaraku dan Sang Saka Biru oleh Orkestra PDRM, bacaan puisi dan lintas hormat udara oleh tiga helikopter PDRM.


Ketika berucap pada majlis itu, Ismail sambil menahan sebak, berkata perkara tidak dapat dilupakan sepanjang perkhidmatannya adalah pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah yang mengorbankan 10 pegawai dan anggota pasukan keselamatan.

Itu saya tak dapat lupakan, kumpulan pengganas cuba menggugat keselamatan dan kedaulatan negara. Alhamdulillah dengan kerjasama ATM, dapat ditangani dengan baik walaupun berlaku pertumpahan darah.

Berehat, main dengan cucu

Selepas bersara, saya tiada sebarang perancangan lagi... mungkin berehat dan bermain dengan cucu selepas sekian lama sibuk dengan tugas, katanya yang kemudian menyempurnakan majlis serah jawatan Ketua Polis Negara kepada Tan Sri Khalid Abu Bakar yang secara rasmi memulakan tugas selaku peneraju utama PDRM, berkuat kuasa hari ini.
Turut disempurnakan, majlis menandatangani surat serah dan terima jawatan antara Khalid dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin yang dilantik Timbalan Ketua Polis Negara, juga berkuat kuasa hari ini.

Terlalu banyak pengalaman pahit manis bersama pasukan, 42 tahun bukan tempoh singkat, kata Ismail sambil turut berterima kasih dan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta seluruh rakyat Malaysia yang membantu dan menyokong PDRM sepanjang perkhidmatannya.

Saya percaya Ketua Polis Negara yang baru mampu berusaha dengan lebih baik. Saya juga mahu melihat beliau membawa imej PDRM dengan lebih baik. Jika saya dapat A sepanjang bertugas, saya mahu Khalid dapat A+, katanya.

Anggap penghormatan

Sementara itu, Khalid yang menyifatkan pelantikannya ke jawatan tertinggi PDRM itu sebagai penghormatan tertinggi sepanjang berkhidmat dengan pasukan berkenaan sejak 37 tahun lalu, berkata jawatan terbabit bukan mudah kerana sentiasa berdepan cabaran yang perlu dihadapi dengan tabah dan bijaksana.