Selasa, 14 Mei 2013

BERITA KRT DALAM AKHBAR

Kejayaan KRT harus sentiasa dipertingkat

Posted on March 30, 2013, Saturday
SIBU: Kejayaan bukan satu aras sekadar untuk dibanggakan sebaliknya perlu dipertingkatkan melalui penerapan semangat persaingan sihat serta kesepaduan antara ahli-ahli Kawasan Rukun Tetengga (KRT).

Penolong Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sibu (JPNIN) Mohd Asri Sulaiman berkata, KRT perlu melipatgandakan usaha agar setiap program yang dianjurkan memberi manfaat menyeluruh.

“Tahniah kepada KRT SEDC Sukun kerana dinobatkan sebagai KRT Terbaik 2012 Bahagian Sibu. Ini menunjukkan peningkatan positif berbeza dengan pertama kali penglibatan saya dengan pihak JPNIN sebelum ini.

“Dengan usaha serta kerjasama semua warga KRT dan pihak JNPIN, setiap masalah yang wujud di KRT tersebut dapat diatasi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Pelantikan Jawatankuasa Baharu KRT SEDC Sukun di Hotel Li Hua kelmarin.

Menurut Mohd Asri lagi, penduduk setempat perlu memberikan sokongan penuh terhadap segala aktiviti yang dirancang oleh KRT, khususnya dalam operasi Skim Rondaan Sukarela (SRS) di sekitar kawasan perumahan itu.

“Kita perlu mengetahui setiap matlamat penubuhan serta peranan sebenar KRT iaitu menyatupadukan penduduk kawasan setempat demi mewujudkan suasana pembangunan masyarakat yang harmoni,” katanya.

Hadir sama Penghulu Enyang Menchol, bekas Pegawai Perpaduan Sibu Suriani Yusuf, Pengerusi KRT SEDC Sukun Azmi Kadir, Pengerusi-pengerusi KRT Zon Empat Sibu dan tetamu lain.

Terdahulu, Azmi Kadir yang dilantik selaku Pengerusi KRT SEDC Sukun buat kali kedua menggesa warga KRT agar terus berpandangan ke hadapan demi kejayaan lebih cemerlang
“Anugerah ini harus membakar semangat ahli-ahli KRT untuk terus proaktif dan mempertingkatkan prestasi dari semasa ke semasa.

“Sudah masuk penggal kedua memimpin, saya amat kagum melihat semangat setiakawan penduduk KRT yang kita ketahui terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Melanau, Iban dan Cina yang mampu berada di bawah satu bumbung dan berjaya menyahut saranan gagasan 1Malaysia oleh Perdana Menteri kita,” ujar beliau.

Azmi turut menyeru agar pelantikan jawatankuasa baharu dapat memberikan komitmen tinggi serta impak positif dalam setiap tugas dan pelaksanaan program yang dirancang kelak.
“Diharapkan seluruh warga KRT menghargai segala sokongan moral mahupun bantuan dari segi kewangan oleh Ahli Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King yang banyak membantu kita dalam kelancaran program dilaksanakan sepanjang tahun,” tambah beliau.

Dalam pada itu, lima pelajar dari kawasan perumahan Sukun iaitu Mohd Naim Yusof (5A UPSR), Nurul Syahidah Azmi (8A PMR), Ashley Philip (7A PMR), Alexander Nyambar (7A SPM) dan Fatin Nadzirah Yusof (9A SPM) menerima wang insentif daripada pihak KRT SEDC Sukun.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan