Skim Rondaan Sukarela bantu polis tangani jenayah
Tarikh Disiarkan : 15-May-2013
DEBAK, Selasa — Masyarakat harus sedar bahawa peranan membanteras jenayah tidak harus digalas oleh pasukan keselamatan sahaja tanpa penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat kerana ia merupakan tanggungjawab bersama. Bagi mengukuhkan jaringan dan usaha membanteras jenayah, Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di bawah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) untuk membantu pihak polis menangani jenayah.
Untuk memastikan SRS dapat terus berfungsi dengan berkesan, pelbagai program diatur termasuk menjalin kesefahaman dengan pihak polis dalam menjalankan rondaan bersama serta tunjuk ajar mengenai tindakan yang perlu ketika membuat rondaan. Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Betong, Mohd Dohan Wahid berkata, SRS boleh dijadikan platform terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kerjasama di samping melahirkan kesedaran tentang pentingnya menjaga keselamatan dalam kalangan penduduk berbilang kaum.
"Misi kami (JPNIN Betong) pada masa kini adalah bagi menggalak serta mengaktifkan setiap SRS yang ada," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan rondaan di Kampung Debak Laut gabungan SRS Debak Laut Hulu dan SRS Debak Laut Hilir di sini, malam tadi. Tambahnya, kehadiran lebih 50 ahli SRS bagi kedua-dua KRT tersebut diharapkan dapat memberi peluang kepada ahli SRS saling mengenali serta bertukar pandangan tentang langkah mencegah jenayah.
Jelas Dohan juga, hingga kini hanya enam daripada sembilan buah KRT yang terdapat di daerah ini sudah menubuhkan SRS. Justeru, pihaknya berharap tiga buah KRT yang masih belum menubuhkan SRS dapat menubuhkannya. "Kami berharap usaha menganjurkan pelbagai program itu dapat memperkenalkan fungsi SRS ke seluruh daerah serta mampu menyedarkan masyarakat tentang pentingnya tanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan sesebuah kampung dan negara khasnya.
"Adalah tidak wajar untuk kita hanya duduk berehat di rumah dan mengharapkan orang lain bersusah payah membuat rondaan bagi menjaga keselamatan kita sekeluarga sedangkan pada hakikatnya aspek keselamatan adalah tanggungjawab bersama. "Saya menggesa lebih ramai masyarakat tampil menyertai SRS bagi menjamin keselamatan bersama daripada ancaman perlakuan jenayah yang bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda, malah turut mengancam nyawa," katanya.
Katanya, masyarakat tidak harus memandang SRS sebagai beban kerana setiap ahli SRS hanya membuat rondaan dua kali sebulan selain diberi cuti separuh hari setiap kali membuat rondaan di samping mendapat perlindungan insurans. "Saya juga berharap agar setiap ahli SRS tidak menganggap rondaan sebagai beban, sebaliknya lakukan dengan hati yang rela dan terbuka kerana ia adalah demi kepentingan bersama," jelasnya. Turut hadir Penolong Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Betong, Mujahid Mohamad dan Noor Hafifi Osman Naidin, Pengerusi KRT Debak Laut Hulu, Abg Suhaimi Abg Mohamad, Pengerusi KRT Debak Laut Hilir, Hazemi Hj Entek, Ketua SRS KRT Debak Laut Hulu, Abd Manaf Jemain serta ahli-ahli SRS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan