Kuala Lumpur: Kabinet diumumkan Datuk Seri Najib Razak kelmarin, diyakini mampu menjayakan agenda transformasi dan memenuhi hasrat penyatuan nasional yang diterajui Perdana Menteri.

Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Seri Dr Zakri Abdul Hamid, berkata gabungan anggota berpengalaman dan muda, ahli teknokrat yang sudah terbukti prestasi mereka, wanita serta wakil Sabah dan Sarawak itu dilihat mantap, seimbang dan berpandangan jauh dari beberapa aspek yang relevan serta diperlukan negara.
Bercakap pada sidang media di sini semalam, beliau berkata, penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi menjadi Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi dalam Kabinet kali ini juga langkah baik sekali gus dapat memberi fokus terhadap pembinaan modal insan.

Kukuh modal insan

Modal insan penting untuk membantu negara mencapai status maju dalam tempoh kurang 10 tahun lagi. Penggabungan itu akan membolehkan kesinambungan proses pendidikan dari tahap paling rendah terus ke peringkat universiti, ia proses pengukuhan yang wajar dilakukan dan kita alu-alukan kementerian baru ini, katanya.

Zakri berkata, MPN yakin amalan demokrasi di Malaysia akan terus subur dan menghasilkan natijah yang dapat dinikmati seluruh rakyat dan generasi masa depan.

Naib Presiden Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersialan, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Prof Dr Lee Sze Wei, pada sidang media sama, berkata seluruh rakyat tanpa mengambil kira kaum, mahu negara ini terus melangkah ke depan.
Kepentingan rakyat

Saya berharap dalam tempoh beberapa tahun akan datang, apa saja yang dilakukan adalah untuk kepentingan seluruh rakyat Malaysia. Perbezaan yang ada sebahagian daripada kehidupan dan ia turut wujud di mana-mana negara, katanya.