Kabinet mantap, dinamik - TPM
Timbalan Perdana Menteri berkata, Kabinet baharu menggabungkan pemimpin yang berpengalaman di dalam dan luar kerajaan termasuk pakar dalam bidang perdagangan dan teknokrat.
"Di samping itu terdapat juga tenaga dinamik, orang muda seperti Khairy Jamaluddin, Datuk Rahman Dahlan dan Datuk Fadillah Yusof yang menunjukkan prestasi cemerlang sebagai Ahli Parlimen sebelum ini," katanya.
Beliau mengulas pengumuman Jemaah Menteri baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, amanah untuk menerajui Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi merupakan satu tanggungjawab besar yang merangkumi pendidikan prasekolah sehingga ke universiti.
''Ini tentunya sesuatu yang amat mencabar. Ia memerlukan lebih perancangan selain pelaksanaan yang berkesan," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, pelantikan Khairy sebagai Menteri Belia dan Sukan adalah sesuai kerana Ketua Pemuda UMNO itu diyakini memahami aspirasi generasi muda.
''Tentu beliau ada inisiatif tertentu bagi menarik generasi muda untuk bersama-sama menjayakan pembangunan negara," katanya.
Mengenai perwakilan MCA dalam Kabinet pula, Muhyiddin berkata, ia tertangguh sehingga pemimpin parti itu membuat keputusan lebih lanjut mengenai perkara itu.
''Ia akan diambil kira Perdana Menteri apabila MCA membuat keputusan untuk bersama-sama dalam Kabinet dan sebagainya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan