Isnin, 27 Mei 2013

SEKITAR PROGRAM KARNIVAL KRT 2013

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Jumaat, 17 Mei 2013

TURUN PADANG

Sederap, Senada dan Seirama dalam usaha memperkasakan perpaduan dan Rukun Tetangga. Pegawai Perpaduan Bahagian Betong turun padang melihat gerak kerja di lapangan.
 
 
 

Tragedi Lahad Datu tidak dapat dilupa

 
Kuala Lumpur: Selepas 42 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Ismail Omar semalam tidak mampu menahan air matanya ketika diraikan pada hari terakhir bertugas sebagai Ketua Polis Negara.

Beliau kelihatan menitiskan air mata ketika perarakan paluan berundur sambil melambaikan tangan kepada kira-kira 5,000 pegawai dan anggota PDRM yang menghadiri majlis terbabit di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini.
Majlis perpisahan dimulakan dengan perbarisan kehormat, disusuli nyanyian lagu Negaraku dan Sang Saka Biru oleh Orkestra PDRM, bacaan puisi dan lintas hormat udara oleh tiga helikopter PDRM.


Ketika berucap pada majlis itu, Ismail sambil menahan sebak, berkata perkara tidak dapat dilupakan sepanjang perkhidmatannya adalah pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah yang mengorbankan 10 pegawai dan anggota pasukan keselamatan.

Itu saya tak dapat lupakan, kumpulan pengganas cuba menggugat keselamatan dan kedaulatan negara. Alhamdulillah dengan kerjasama ATM, dapat ditangani dengan baik walaupun berlaku pertumpahan darah.

Berehat, main dengan cucu

Selepas bersara, saya tiada sebarang perancangan lagi... mungkin berehat dan bermain dengan cucu selepas sekian lama sibuk dengan tugas, katanya yang kemudian menyempurnakan majlis serah jawatan Ketua Polis Negara kepada Tan Sri Khalid Abu Bakar yang secara rasmi memulakan tugas selaku peneraju utama PDRM, berkuat kuasa hari ini.
Turut disempurnakan, majlis menandatangani surat serah dan terima jawatan antara Khalid dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin yang dilantik Timbalan Ketua Polis Negara, juga berkuat kuasa hari ini.

Terlalu banyak pengalaman pahit manis bersama pasukan, 42 tahun bukan tempoh singkat, kata Ismail sambil turut berterima kasih dan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta seluruh rakyat Malaysia yang membantu dan menyokong PDRM sepanjang perkhidmatannya.

Saya percaya Ketua Polis Negara yang baru mampu berusaha dengan lebih baik. Saya juga mahu melihat beliau membawa imej PDRM dengan lebih baik. Jika saya dapat A sepanjang bertugas, saya mahu Khalid dapat A+, katanya.

Anggap penghormatan

Sementara itu, Khalid yang menyifatkan pelantikannya ke jawatan tertinggi PDRM itu sebagai penghormatan tertinggi sepanjang berkhidmat dengan pasukan berkenaan sejak 37 tahun lalu, berkata jawatan terbabit bukan mudah kerana sentiasa berdepan cabaran yang perlu dihadapi dengan tabah dan bijaksana.

Jaya agenda transformasi

 
Kuala Lumpur: Kabinet diumumkan Datuk Seri Najib Razak kelmarin, diyakini mampu menjayakan agenda transformasi dan memenuhi hasrat penyatuan nasional yang diterajui Perdana Menteri.

Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Seri Dr Zakri Abdul Hamid, berkata gabungan anggota berpengalaman dan muda, ahli teknokrat yang sudah terbukti prestasi mereka, wanita serta wakil Sabah dan Sarawak itu dilihat mantap, seimbang dan berpandangan jauh dari beberapa aspek yang relevan serta diperlukan negara.
Bercakap pada sidang media di sini semalam, beliau berkata, penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi menjadi Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi dalam Kabinet kali ini juga langkah baik sekali gus dapat memberi fokus terhadap pembinaan modal insan.

Kukuh modal insan

Modal insan penting untuk membantu negara mencapai status maju dalam tempoh kurang 10 tahun lagi. Penggabungan itu akan membolehkan kesinambungan proses pendidikan dari tahap paling rendah terus ke peringkat universiti, ia proses pengukuhan yang wajar dilakukan dan kita alu-alukan kementerian baru ini, katanya.

Zakri berkata, MPN yakin amalan demokrasi di Malaysia akan terus subur dan menghasilkan natijah yang dapat dinikmati seluruh rakyat dan generasi masa depan.

Naib Presiden Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersialan, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Prof Dr Lee Sze Wei, pada sidang media sama, berkata seluruh rakyat tanpa mengambil kira kaum, mahu negara ini terus melangkah ke depan.
Kepentingan rakyat

Saya berharap dalam tempoh beberapa tahun akan datang, apa saja yang dilakukan adalah untuk kepentingan seluruh rakyat Malaysia. Perbezaan yang ada sebahagian daripada kehidupan dan ia turut wujud di mana-mana negara, katanya.

'Utama ketelusan dalam pentadbiran'


'Utama  ketelusan dalam pentadbiran'Najib dan Muhyiddin bersama barisan anggota Kabinet baru pada sesi bergambar sebelum mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - Foto BERNAMA
Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak menekankan kepentingan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan kerana ia adalah aspek yang dieksploitasi dan digembar-gembur oleh pembangkang tanpa mengambil kira sama ada ia bersandarkan kepada realiti atau persepsi.

Perdana Menteri berkata, ketika ini pembangkang hanya tahu bagaimana persepsi boleh mengatasi realiti.
Katanya, dalam mesyuarat khas jemaah menteri yang dipengerusikannya buat kali pertama semalam selepas PRU-13, beliau meminta supaya anggota pentadbiran kerajaan memberikan maklum balas dengan lebih pantas dan lebih tegas terhadap sebarang isu yang dibangkitkan pembangkang.


Perdana Menteri berkata, beliau turut menegaskan betapa penting bagi anggota Kabinet untuk bersedia menghadapi penilaian awam yang lebih tinggi lagi.

Maknanya, jangkaan atau harapan rakyat terhadap tingkah laku kita, sama ada pada diri kita mahupun anggota keluarga, adalah begitu tinggi. Oleh itu, kita mesti menjaga apa saja yang kita lakukan, pembawaan dan cara hidup supaya rakyat tidak mempersoalkan apa saja membabitkan integriti kita sebagai anggota pentadbiran, katanya.

Mesyuarat pertama Kabinet

Pagi semalam, anggota Kabinet baru mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, di Istana Negara.
Mesyuarat pertama Kabinet baru hari ini berlangsung selama hampir dua jam, sejurus mereka bergambar beramai-ramai di Aras Satu bangunan Putra Perdana, pada jam 3.15 petang.

Merujuk kepada anggota Kabinet baru Najib berkata, beliau melihat mereka sememangnya bersemangat tinggi dan bersedia memikul tanggungjawab sebagai satu pasukan.

Insya-Allah kita akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi dan melaksanakan segala amanah dan janji kita kepada rakyat, katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam mesyuarat pertama itu beliau juga menegaskan pentingnya untuk menjunjung amanah dan kepercayaan diberikan rakyat kepada kerajaan.

Beri nilai tambah

Katanya, beliau menegaskan bahawa apa saja disuarakan anggota Kabinet, ia bukan atas nama individu, sebaliknya mewakili kerajaan dan adalah pendirian bersama.

Apa saja yang kita lakukan, ia mesti atas nama sebuah kerajaan, bukannya kita bergerak dalam compartment (ruang atau bahagian yang terpisah daripada bahagian lain) atau silo masing-masing. Saya tegaskan penting kita menjadi satu pasukan yang jitu, kukuh dan selaras tindakan kita, sama ada dalam negara mahupun di luar negara, sama ada kita berbicara dengan media tempatan mahupun media antarabangsa, katanya.

Beliau meminta setiap anggota Kabinet memberi nilai tambah kepada perkhidmatan dengan bukan hanya menjaga kementerian atau kawasan masing-masing, sebaliknya sanggup melakukan lebih daripada itu termasuk menyertai forum bersama dengan rakyat, sama ada penyertaan secara bersemuka, mahupun menerusi media sosial atau tradisional.
BERNAMA

AKHBAR BERITA HARIAN

CUEPACS tuntut penjelasan

 
Putrajaya: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu mendapatkan penjelasan lanjut mengenai penggabungan Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi menjadi satu kementerian.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata pihaknya berharap dapat menemui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang turut menerajui Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi yang baru diwujudkan itu.
Kebajikan kakitangan

  Isu ini dibangkitkan Gabungan Majlis Presiden Dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/IPTA Malaysia (GAKUM) kerana kurang jelas dan bimbang penggabungan itu menjejaskan kebajikan pekerja sokongan.

Penggabungan dua kementerian ini turut membabitkan kebajikan pekerja di dua kementerian.

Ketika ini skim perjawatan masih di bawah selian kementerian berlainan dan kita tidak mahu kebajikan pekerja terjejas kerana tidak jelas dengan penggabungan ini, katanya, di sini, semalam.

AKHBAR BERITA HARIAN

Cuaca panas, kering dijangka sehingga September

KUALA LUMPUR: Cuaca panas dan kering dijangka berlaku sehingga September ini berikutan musim Monsun Barat Daya yang bermula Rabu lalu.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), kebanyakan kawasan di negara ini akan mengalami lebih banyak hari tanpa hujan serta liputan awan yang berkurangan, dan tempoh penerimaaan cahaya matahari yang lebih lama menyebabkan suhu persekitaran meningkat.
Bagaimanapun, beberapa kawasan di pedalaman Semenanjung dijangka mengalami hujan dan ribut petir pada lewat petang dan senja, menurut jabatan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.          
Sementara kawasan persisiran pantai di negeri pantai barat Semenanjung pula kadangkala akan mengalami ribut petir, hujan lebat serta angin langkisau yang kuat terutama pada awal pagi disebabkan pembentukan garis badai di Selat Melaka.

Menurut JMM, pada musim ini akan berlaku peningkatan frekuensi aktiviti ribut tropika di barat Lautan Pasifik dan utara Laut China Selatan yang akan menyebabkan kawasan Kudat dan Pantai Barat Sabah mengalami angin kencang berserta hujan lebat. - BERNAMA

Rabu, 15 Mei 2013

youtube...

http://youtu.be/UXWANhWAz_0
http://youtu.be/56Hv3OZSdMA
http://youtu.be/z6Pov5vuaas
http://youtu.be/kYejJp0aEos
http://youtu.be/a6t_ZFNsRyw

Atasi segera isu perpecahan perpaduan

Mazlan Mohamad
 
SEREMBAN 15 Mei - Isu perpecahan perpaduan dalam kalangan masyarakat jika tidak dibendung segera, dikhuatiri akan membantutkan usaha dan menghalang program pembangunan pendidikan yang digerakkan di negara ini.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Datuk Mazlan Mohamad berkata, pihaknya akan menyemak dan melihat semula aspek perpaduan diterapkan di sekolah.
''Perkara ini kita akan semak semula dan mengambil langkah yang efisien untuk mengenal pasti bagaimana perpaduan itu benar-benar dapat dibangunkan.
''Kita tidak dapat mengelak daripada memikirkan perkara ini kerana kita hidup sebagai masyarakat majmuk dan semua kaum terlibat dalam aspek pembangunan pendidikan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia sempena Forum Guru Malaysia: 1Aspirasi 1Agenda sempena Hari Guru di Kompleks Belia dan Sukan Paroi dekat sini hari ini.
Forum yang dihadiri kira-kira 2,000 orang itu disertai tiga ahli panel termasuk tokoh akademik, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba.
Sehubungan itu, menurut Mazlan, pihak yang terlibat terutama warga pendidik perlu mengambil pendekatan berkesan untuk membantu kerajaan dalam menangani permasalahan tersebut.
''Sudah cukuplah perpaduan dalam pendidikan diukur dari segi luaran atau permukaan atau dilihat sebagai majlis-majlis tertentu sahaja," katanya.
Mengenai rancangan pelaksanaan sekolah satu aliran, kata beliau, masih terdapat alternatif atau kaedah yang boleh dipraktikkan dalam usaha merealisasikan hasrat itu termasuk penggunaan bahasa Melayu di sekolah aliran Cina dan Tamil.


SIARAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA

Kabinet mantap, dinamik - TPM

 
PUTRAJAYA 15 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Kabinet baharu yang diumumkan hari ini sebagai barisan yang mantap dan dinamik dengan menggandingkan pemimpin muda serta berpengalaman untuk melaksanakan transformasi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kabinet baharu menggabungkan pemimpin yang berpengalaman di dalam dan luar kerajaan termasuk pakar dalam bidang perdagangan dan teknokrat.
"Di samping itu terdapat juga tenaga dinamik, orang muda seperti Khairy Jamaluddin, Datuk Rahman Dahlan dan Datuk Fadillah Yusof yang menunjukkan prestasi cemerlang sebagai Ahli Parlimen sebelum ini," katanya.

Beliau mengulas pengumuman Jemaah Menteri baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, amanah untuk menerajui Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi merupakan satu tanggungjawab besar yang merangkumi pendidikan prasekolah sehingga ke universiti.

''Ini tentunya sesuatu yang amat mencabar. Ia memerlukan lebih perancangan selain pelaksanaan yang berkesan," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, pelantikan Khairy sebagai Menteri Belia dan Sukan adalah sesuai kerana Ketua Pemuda UMNO itu diyakini memahami aspirasi generasi muda.
''Tentu beliau ada inisiatif tertentu bagi menarik generasi muda untuk bersama-sama menjayakan pembangunan negara," katanya.

Mengenai perwakilan MCA dalam Kabinet pula, Muhyiddin berkata, ia tertangguh sehingga pemimpin parti itu membuat keputusan lebih lanjut mengenai perkara itu.
''Ia akan diambil kira Perdana Menteri apabila MCA membuat keputusan untuk bersama-sama dalam Kabinet dan sebagainya," katanya.


PM hargai pengundi Sabah, Sarawak

PUTRAJAYA 15 Mei - Pembentukan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini menyaksikan hampir separuh jawatan menteri penuh disandang oleh wakil dari Sabah dan Sarawak.

Seramai tujuh wakil dari Sarawak dilantik sebagai menteri penuh di mana empat daripadanya merupakan timbalan menteri dalam Kabinet lalu dan seorang muka baharu iaitu Datuk Fadilah Yusof sebagai Menteri Kerja Raya, Datuk Joseph Entulu Belaun sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Timbalan Presiden (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) SUPP, Datuk Richard Riot Jaem sebagai Menteri Sumber Manusia.

Selain itu, bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim dilantik mengisi kekosongan di Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dan seorang muka baru iaitu Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri sebagai Menteri di JPM.

Dalam masa sama, dua menteri penuh dalam Kabinet sebelum ini iaitu Senator Datuk Seri Idris Jala dikekalkan sebagai Menteri di JPM manakala bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berubah portfolio kepada Kementerian Perusahaan, Peladangan dan Komoditi
.
Sementara itu, dua muka baru dari Sabah dilantik sebagai menteri penuh iaitu, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Dr. Ewon Ebin yang masing-masing mengisi kekosongan di Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Sains dan Teknologi
.
Dua lagi menteri dalam Kabinet terdahulu iaitu Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman pula dikekalkan di kementerian yang sama iaitu Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Luar Negeri.

Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pula bertukar portfolio ke Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air manakala bekas Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup dinaikkan pangkat sebagai Menteri di JPM.

Sementara itu, empat wakil dari Sarawak dilantik mengisi jawatan sebagai timbalan menteri iaitu Datuk Joseph Salang (Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan), Datuk Dr. James Dawos Mamit (Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Kementerian Dalam Negeri) dan Datuk Alexander Nata Linggi (Kementerian Luar Bandar dan Wilayah).
Tiga wakil dari Sabah pula dilantik sebagai timbalan menteri iaitu dua muka baru Datuk Mary Yap Kain Ching (Kementerian Pelajaran) dan Ahli Parlimen Beauford, Datuk Azizah Mohd. Dun (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri (Kementerian Pertahanan).


Kabinet gabungan

Najib Tun Razak menunjukkan fail yang mengandungi senarai Kabinet sambil diperhatikan Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Kabinet 2013 di Putrajaya, semalam. - Utusan/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
 
PUTRAJAYA 15 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan barisan Jemaah Menteri yang diumumkan hari ini sebagai Kabinet berimbang menggabungkan pemimpin berpengalaman, teknokrat dan orang muda.
Perdana Menteri berkata, Kabinet baharu tersebut mampu meneruskan dan menjayakan agenda transformasi nasional selain meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat.
"Selain memberi tumpuan kepada kebolehan dan kepakaran masing-masing, isu-isu seperti integriti dan rasuah akan diberi tumpuan oleh Kabinet yang baharu," katanya dalam sidang akhbar khas pengumuman Kabinet baharu di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa.
Sidang akhbar itu dihadiri lebih 100 pemberita dan jurukamera daripada media tempatan dan antarabangsa.
Najib percaya, anggota Jemaah Menteri yang berpengalaman sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri sebelum ini akan menyumbang kesinambungan kepada pembangunan negara.

Sila klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas


Beliau berkata, kumpulan teknokrat yang dilantik pula akan menyumbang kepakaran khusus terutamanya mencetus idea-idea yang kreatif lagi bernas untuk pertimbangan kerajaan.
"Selain memiliki kebolehan, golongan muda (dalam Kabinet) juga akan membawa cita rasa orang muda kepada pertimbangan kerajaan," katanya.
Antara pemimpin berpengalaman yang dinamakan semula dalam barisan Kabinet baharu ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Pertahanan) dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Dalam Negeri).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan tokoh pendidik, Datuk Mary Yap (Timbalan Menteri Pelajaran) dilihat sebagai golongan teknokrat yang mampu menyumbang kepakaran dalam bidang masing-masing.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (Menteri Belia dan Sukan) dan Datuk Abdul Rahman Dahlan (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan) pula merupakan antara orang muda yang menganggotai Kabinet.


LAMAN WEB JABATAN KEMAJUAN MASYARAKAT

www.kemas.gov.my

Selasa, 14 Mei 2013

Skim Rondaan Sukarela bantu polis tangani jenayah
 
 
Tarikh Disiarkan : 15-May-2013


DEBAK, Selasa — Masyarakat harus sedar bahawa peranan membanteras jenayah tidak harus digalas oleh pasukan keselamatan sahaja tanpa penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat kerana ia merupakan tanggungjawab bersama. Bagi mengukuhkan jaringan dan usaha membanteras jenayah, Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di bawah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) untuk membantu pihak polis menangani jenayah.
Untuk memastikan SRS dapat terus berfungsi dengan berkesan, pelbagai program diatur termasuk menjalin kesefahaman dengan pihak polis dalam menjalankan rondaan bersama serta tunjuk ajar mengenai tindakan yang perlu ketika membuat rondaan. Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Betong, Mohd Dohan Wahid berkata, SRS boleh dijadikan platform terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kerjasama di samping melahirkan kesedaran tentang pentingnya menjaga keselamatan dalam kalangan penduduk berbilang kaum.
"Misi kami (JPNIN Betong) pada masa kini adalah bagi menggalak serta mengaktifkan setiap SRS yang ada," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan rondaan di Kampung Debak Laut gabungan SRS Debak Laut Hulu dan SRS Debak Laut Hilir di sini, malam tadi. Tambahnya, kehadiran lebih 50 ahli SRS bagi kedua-dua KRT tersebut diharapkan dapat memberi peluang kepada ahli SRS saling mengenali serta bertukar pandangan tentang langkah mencegah jenayah.
Jelas Dohan juga, hingga kini hanya enam daripada sembilan buah KRT yang terdapat di daerah ini sudah menubuhkan SRS. Justeru, pihaknya berharap tiga buah KRT yang masih belum menubuhkan SRS dapat menubuhkannya. "Kami berharap usaha menganjurkan pelbagai program itu dapat memperkenalkan fungsi SRS ke seluruh daerah serta mampu menyedarkan masyarakat tentang pentingnya tanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan sesebuah kampung dan negara khasnya.
"Adalah tidak wajar untuk kita hanya duduk berehat di rumah dan mengharapkan orang lain bersusah payah membuat rondaan bagi menjaga keselamatan kita sekeluarga sedangkan pada hakikatnya aspek keselamatan adalah tanggungjawab bersama. "Saya menggesa lebih ramai masyarakat tampil menyertai SRS bagi menjamin keselamatan bersama daripada ancaman perlakuan jenayah yang bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda, malah turut mengancam nyawa," katanya.
Katanya, masyarakat tidak harus memandang SRS sebagai beban kerana setiap ahli SRS hanya membuat rondaan dua kali sebulan selain diberi cuti separuh hari setiap kali membuat rondaan di samping mendapat perlindungan insurans. "Saya juga berharap agar setiap ahli SRS tidak menganggap rondaan sebagai beban, sebaliknya lakukan dengan hati yang rela dan terbuka kerana ia adalah demi kepentingan bersama," jelasnya. Turut hadir Penolong Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Betong, Mujahid Mohamad dan Noor Hafifi Osman Naidin, Pengerusi KRT Debak Laut Hulu, Abg Suhaimi Abg Mohamad, Pengerusi KRT Debak Laut Hilir, Hazemi Hj Entek, Ketua SRS KRT Debak Laut Hulu, Abd Manaf Jemain serta ahli-ahli SRS.

BERITA KRT DALAM AKHBAR

Kejayaan KRT harus sentiasa dipertingkat

Posted on March 30, 2013, Saturday
SIBU: Kejayaan bukan satu aras sekadar untuk dibanggakan sebaliknya perlu dipertingkatkan melalui penerapan semangat persaingan sihat serta kesepaduan antara ahli-ahli Kawasan Rukun Tetengga (KRT).

Penolong Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sibu (JPNIN) Mohd Asri Sulaiman berkata, KRT perlu melipatgandakan usaha agar setiap program yang dianjurkan memberi manfaat menyeluruh.

“Tahniah kepada KRT SEDC Sukun kerana dinobatkan sebagai KRT Terbaik 2012 Bahagian Sibu. Ini menunjukkan peningkatan positif berbeza dengan pertama kali penglibatan saya dengan pihak JPNIN sebelum ini.

“Dengan usaha serta kerjasama semua warga KRT dan pihak JNPIN, setiap masalah yang wujud di KRT tersebut dapat diatasi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Pelantikan Jawatankuasa Baharu KRT SEDC Sukun di Hotel Li Hua kelmarin.

Menurut Mohd Asri lagi, penduduk setempat perlu memberikan sokongan penuh terhadap segala aktiviti yang dirancang oleh KRT, khususnya dalam operasi Skim Rondaan Sukarela (SRS) di sekitar kawasan perumahan itu.

“Kita perlu mengetahui setiap matlamat penubuhan serta peranan sebenar KRT iaitu menyatupadukan penduduk kawasan setempat demi mewujudkan suasana pembangunan masyarakat yang harmoni,” katanya.

Hadir sama Penghulu Enyang Menchol, bekas Pegawai Perpaduan Sibu Suriani Yusuf, Pengerusi KRT SEDC Sukun Azmi Kadir, Pengerusi-pengerusi KRT Zon Empat Sibu dan tetamu lain.

Terdahulu, Azmi Kadir yang dilantik selaku Pengerusi KRT SEDC Sukun buat kali kedua menggesa warga KRT agar terus berpandangan ke hadapan demi kejayaan lebih cemerlang
“Anugerah ini harus membakar semangat ahli-ahli KRT untuk terus proaktif dan mempertingkatkan prestasi dari semasa ke semasa.

“Sudah masuk penggal kedua memimpin, saya amat kagum melihat semangat setiakawan penduduk KRT yang kita ketahui terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Melanau, Iban dan Cina yang mampu berada di bawah satu bumbung dan berjaya menyahut saranan gagasan 1Malaysia oleh Perdana Menteri kita,” ujar beliau.

Azmi turut menyeru agar pelantikan jawatankuasa baharu dapat memberikan komitmen tinggi serta impak positif dalam setiap tugas dan pelaksanaan program yang dirancang kelak.
“Diharapkan seluruh warga KRT menghargai segala sokongan moral mahupun bantuan dari segi kewangan oleh Ahli Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King yang banyak membantu kita dalam kelancaran program dilaksanakan sepanjang tahun,” tambah beliau.

Dalam pada itu, lima pelajar dari kawasan perumahan Sukun iaitu Mohd Naim Yusof (5A UPSR), Nurul Syahidah Azmi (8A PMR), Ashley Philip (7A PMR), Alexander Nyambar (7A SPM) dan Fatin Nadzirah Yusof (9A SPM) menerima wang insentif daripada pihak KRT SEDC Sukun.


Najib mohon sokongan rakyat untuk terus majukan negara

7 Mei 2013
Najib Razak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
 
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan kepada kerajaan yang baru dipilih untuk membolehkannya terus memajukan negara.

"Dengan penuh rendah hati, saya memohon sokongan anda untuk membolehkan kami membina sebuah negara yang lebih sejahtera. Saya amat berbesar hati kerana berpeluang berkhidmat kepada anda semua sekali lagi," kata Najib dalam mesej melalui laman Twitternya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Ahad lepas, Barisan Nasional (BN) memperoleh mandat untuk membentuk kerajaan apabila memenangi 133 daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Semalam, Najib mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara di sini.

Beliau juga terus menerima ucapan tahniah melalui Twitter daripada pelbagai pihak, termasuk daripada Duta Besar Amerika ke Malaysia Datuk Paul W.Jones.

"Tahniah @NajibRazak kerana mengangkat sumpah sebagai PM. Kami harap hubungan AS-MY akan bertambah erat," kata Jones.- Bernama
Kakitangan awam dapat satu kenaikan gaji tahunan

11 Mac 2013
Kakitangan awam dapat satu kenaikan gaji tahunan

Sebahagian penjawat awam bertafakur dan berdoa memberi penghormatan kepada anggota keselamatan yang terkorban di Wisma Bapa Malaysia hari ini. - Foto Bernama
 
PUTRAJAYA - Kerajaan hari ini bersetuju untuk memberi semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) yang diawalkan pada 1 Julai 2013, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata ini bermakna setiap penjawat awam akan mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320.
"Langkah itu akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion," katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020', di sini.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa serta menteri-menteri Kabinet.
Najib berkata semua inisiatif yang diumumkan merupakan sebahagian daripada sistem saraan baru yang akan dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (STI).
Perdana Menteri juga berkata berkuatkuasa 1 Januari 2013 semua struktur gaji maksimum dalam jadual Gaji Minimum-Maksimum akan diperuntukkan tambahan kenaikan gaji tahunan sebanyak tiga KGT.
"Ini bagi membolehkan seramai 182,434 pegawai yang berada di gaji maksimum mendapat faedah pergerakan gaji tahunan mulai tahun ini (2013) tertakluk kepada peraturan yang berkuatkuasa.
"Semoga inisiatif itu dimanfaatkan penjawat awam bagi meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi sumbangan kepada negara," katanya.
Najib berkata sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, dalam memastikan penjawat awam sentiasa berprestasi tinggi dan berproduktiviti, kerajaan turut bersetuju Pergerakan Gaji Khas sebanyak tiga peratus diberikan kepada pegawai yang mencapai dan berada di gaji maksimum tertakluk memenuhi syarat pergerakan gaji tahunan termasuk syarat prestasi yang ditetapkan.
Perdana Menteri turut menyampaikan berita gembira kepada pegawai kontrak yang berjumlah hampir 50,000 orang yang tamat kontrak pada 31 Disember 2013 bakal disambung setahun lagi sementara kajian secara menyeluruh dilaksanakan. - Bernama

PM terima panggilan mengejut daripada Obama
Wartawan Sinar Harian
15 Mei 2013
Barack Obama
Barack Obama
 
KUALA LUMPUR - Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menelefon Datuk Seri Najib Tun Razak semalam untuk mengucapkan tahniah kepada perdana menteri atas kejayaan beliau mendapat mandat daripada rakyat pada PRU13 untuk terus menerajui Malaysia.

Dalam panggilan mengejut itu, Obama menyatakan beliau faham dan menerima proses dan keputusan PRU13, baru-baru ini di Malaysia.

Dalam kenyataan dikeluarkan di sini semalam, Pejabat Perdana Menteri berkata, dalam perbualan itu, Presiden AS itu juga diberikan taklimat ringkas mengenai usaha kerajaan untuk memastikan proses pilihan raya yang bersih dan adil.

Menurut kenyataan itu, di pihak beliau, Obama bersetuju untuk menyertai Sidang Kemuncak Keusahawanan Global selama dua hari di Kuala Lumpur, bermula 11 Oktober.

“Malaysia dan Amerika Syarikat akan terus memperkukuhkan hubungan dua hala menerusi kerjasama serantau dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Presiden AS itu juga menyentuh mengenai topik perdagangan dua hala dan pelbagai hala dan secara spesifik mengenai ‘Trans Pacific Partnership’, dan berharap inisiatif itu dapat dimuktamadkan lebih awal.

Kedua-dua pemimpin juga membincangkan isu Pengawalan dan Pelucutan Senjata Nuklear.

Najib berkata, beliau menghargai panggilan peribadi itu dan minat yang ditunjukkan oleh Obama ke atas Malaysia, dan hasrat beliau untuk menjalin hubungan lebih erat antara kedua-dua negara dan pentadbiran.
Najib dijangka umum Kabinet petang ini
WARTAWN SINAR HARIAN
15 Mei 2013
Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan sidang media petang ini, dipercayai bagi mengumumkan barisan Kabinet. Sidang media dijadual berlangsung pada jam 5 petang di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Najib menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Istana Negara jam 12 tengah hari tadi.

Baginda telah memperkenan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai menteri dan timbalan menteri diadakan di Istana Negara, 9.30 pagi esok.
www.jpnin.gov.my

SEKITAR HARI KELUARGA KRT

Sebagai tanda menghargai peranan, tanggungjawap dan sumbangan ahli, KRT Kampung Hilir Debak Laut telah menganjurkan majlis Hari Keluarga KRT bertempat di perkarangan rumah Pengerusi.

 
 
 

PROGRAM SRS

Pada 13 Mei 2013, jawatankuasa SRS Kampung Debak Laut Hilir telah melakukan aktiviti rondaan malam di sepanjang jalan Kampung Debak Laut. Operasi tersebut bermula dari jam 9.00 malam sehingga 12.00 tenga malam. Seramai 23 orang ahli telah terlibat dengan kelengkapan peralatan SRS yang telah disediakan oleh jabatan Perpaduan Bahagian Betong. Turut hadir dalam rondaan tersebut ialah Ketua SRS Kampung Debak Laut Hilir, PPB Bahagain Betong, En Mohd Dohan, En Mujahid dan En Noor Hafifi. Program rondaan ini akan berterusan mengikut jadual yang telah ditetapkan.