Jumaat, 19 Julai 2013

PROGRAM KRT DALAM AKHBAR UTUSAN SARAWAK

Kekalkan semangat kerjasama
Oleh : Hamimi Kasim
Tarikh Disiarkan : 17-Jul-2013


DEBAK, Selasa — Dalam usaha mewujudkan suasana aman dalam kampung, semua pihak perlu berganding bahu dan bersatu hati melaksanakan kerja sosial seperti pasukan sukarela.
Justeru, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Debak Laut Hilir, Hazemi Haji Entek menasihatkan agar semua pihak mengekalkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam diri masing-masing bagi mencpaai matlamat tersebut.
“Tiada guna untuk kita berpecah- belah yang akhirnya setiap perancangan yang dirancang untuk menjaga ketenteraman awam serta kemurnian kampung tidak tercapai.
“Oleh itu, badan-badan sukarela seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mesti memainkan peranan penting dalam usaha tersebut,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa pelaksanaan rondaan SRS semalam yang bermula dari jam 8.30 malam sehingga jam 11.00 malam di Debak Laut, dekat sini.
Tambah Hazemi, sejak wujudnya KRT dan SRS di kampung Debak Laut ternyata aktiviti serta gejala sosial yang tidak berfaedah berjaya dikurangkan.
“Syukur kerana dengan semua pasukan sukarela termasuk KRT di sini sedikit sebanyak dapat mengurangkan berlakunya gejala sosial yang kurang berfaedah sejak akhirakhir ini,” jelasnya. Dalam pada itu, Hazemi yang juga jawatankuasa SRS Kampung Hilir Debak Laut berkata, penyelesaian sesuatu masalah bukan diselesaikan dengan cara kekerasan sebaliknya perlu ada perbincangan yang baik.
“Untuk itu, melaksanakan program rondaan bukanlah suatu perkara mudah dan senang sebaliknya pelbagai cabaran dan rintangan perlu dihadapi seperti remaja menghidu gam, pil khayal dan meminum minuman keras serta menunggang kenderaan seperti motosikal dalam keadaan yang laju dan bahaya di jalan kampung.
“Alhamdulillah, setakat ini perkara-perkara seperti itu tidak berlaku semasa rondaan SRS dijalankan. “Ini terbukti kerana kerjasama dari semua pihak termasuk ibubapa anak-anak remaja yang begitu prihatin dan mempunyai sikap bertanggangjawap,” katanya. Dalam perkembangan lain, Hazemi berkata rondaan SRS Kampung Hilir Debak Laut dibuat secara berkala mengikut takwim dan jadual dalam setiap kumpulan.
“Semasa rondaan, petugas dibekalkan ‘walkie-talkie, lampu, wisel serta pakaian seragam SRS dan peralatan-peralatan lain bagi memudahkan pergerakan petugas,” katanya. Terdahulu, sebelum pergerakan SRS dilakukan, Hazemi telah menyampaikan taklimat berhubung panduan dalam perlaksanaan rondaan yang perlu dilakukan oleh para petugas. Seramai 14 orang ahli dari SRS Kampung Debak Laut Hilir telah terlibat dengan dibantu oleh SRS Kampung Hulu yang mengawal di laluan masuk utama kampung ini.
“Apa yang kita harap agar kerjasama semua pihak amatlah diperlukan bukan sahaja semasa pelaksanaan aktiviti di malam hari sebaliknya di siang hari pun kita perlu berwaspada dari sebarang kemungkinan,” ujarnya. Hadir sama Timbalan Pengerusi KRT Kampung Hilir, Mohamad Kawi.

Ahad, 7 Julai 2013

PROGRAM KEMASYARAKATAN : BERSAMA JABATAN KEBAJIKAN BETONG

 
Selain menjalankan program berbentuk hiburan, gotong royong KRT Kampung Debak Laut Hilir juga melaksanakan program kemasyarakatannya. Baru-baru ini, KRT telah bekerjasama dengan jabatan Kebajikan Bahagian Betong dalam usaha membantu mereka yang kurang berdaya untuk mendapat bantuan kebajikan.