Atasi segera isu perpecahan perpaduan

Mazlan Mohamad
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Datuk Mazlan Mohamad berkata, pihaknya akan menyemak dan melihat semula aspek perpaduan diterapkan di sekolah.
''Perkara ini kita akan semak semula dan mengambil langkah yang efisien untuk mengenal pasti bagaimana perpaduan itu benar-benar dapat dibangunkan.
''Kita tidak dapat mengelak daripada memikirkan perkara ini kerana kita hidup sebagai masyarakat majmuk dan semua kaum terlibat dalam aspek pembangunan pendidikan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia sempena Forum Guru Malaysia: 1Aspirasi 1Agenda sempena Hari Guru di Kompleks Belia dan Sukan Paroi dekat sini hari ini.
Forum yang dihadiri kira-kira 2,000 orang itu disertai tiga ahli panel termasuk tokoh akademik, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba.
Sehubungan itu, menurut Mazlan, pihak yang terlibat terutama warga pendidik perlu mengambil pendekatan berkesan untuk membantu kerajaan dalam menangani permasalahan tersebut.
''Sudah cukuplah perpaduan dalam pendidikan diukur dari segi luaran atau permukaan atau dilihat sebagai majlis-majlis tertentu sahaja," katanya.
Mengenai rancangan pelaksanaan sekolah satu aliran, kata beliau, masih terdapat alternatif atau kaedah yang boleh dipraktikkan dalam usaha merealisasikan hasrat itu termasuk penggunaan bahasa Melayu di sekolah aliran Cina dan Tamil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan